BANJIR PANTAI TIMUR: Peruntukan RM500,000 KPWKM



                                                                               ( Foto: fail )


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meluluskan Perolehan Darurat RM500,000 bagi membiayai keperluan segera serta bantuan kepada mangsa terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata peruntukan berkenaan bagi memastikan barangan keperluan tambahan di stor, mini depoh dan pangkalan hadapan di semua daerah terjejas sentiasa tersedia.

"Petugas JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan terus memantau dan bersiap sedia sepanjang masa di kawasan yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Berhubung isu terputus pergerakan di Hulu Besut di Terengganu, Nancy berkata mesyuarat bersama Ketua Polis Negeri dan Ketua Jabatan Negeri petang tadi memutuskan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan digunakan bagi membantu JKM dalam urusan penghantaran bantuan.

 

"Bagi mangsa yang tidak sempat berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), mereka boleh berkumpul di premis awam lain seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan JKM bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana akan daftarkan PPS secara ad hoc untuk mereka mendapatkan makanan dan keperluan asas," katanya.

 

 

Sumber: bernama

Previous Post Next Post