TIGA BERADIK MAUT RENJATAN ELEKTRIK: Satu Pengajaran Buat Kita

 



Kisah 3 beradik yang maut akibat terkena renjatan elektrik merupakan satu pengajaran buat kita. Banyak ibrah  positif yang boleh diambil dan diteladani.Saya amat terharu melihat cara kematian mereka ketika melihat video yang tular di media sosial. Sesungguhnya ketiga-tiga mereka "dijemput" oleh Allah SWT dengan cara yang baik dan cepat. Cara kematian husnul khatimah yang diimpi-impikan oleh setiap umat Islam tentunya. Terasa sedikit cemburu kepada mereka kerana tidak perlu menghadapi rasa kesakitan dan seksaan saat sakaratulmaut.

Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini. Pertamanya jika kita melihat ketiga-tiga mereka meninggal dengan aurat yang terjaga. Subhanallah...sampai matipun aurat mereka masih dijaga oleh Allah SWT. Mungkin itu salah satu hikmah yang "dibayar" oleh Allah SWT kerana semasa hayat mereka sentiasa menjaga aurat dengan baik.

Jadi di kesempatan ini, saya ingin menyeru diri saya dan kaum hawa di luar sana sentiasalah  menjaga aurat tak kira mahu keluar rumah sekejap sahaja kerana kita tidak tahu bila saat kematian kita tiba.

Pengajaran kedua ialah mengenai keakraban, kasih sayang dan jalinan ukhuwwah mereka bertiga cukup-cukup rapat. Ini juga diakui sendiri ibu mangsa-mangsa berkenaan iaitu Zainun Sulaiman,62.

Dek kerana itulah apabila arwah Nor Syazwani terjatuh, tanpa melengah, arwah Fatiah dan arwah Sakinah terus menerpa membantu. Rasa kasih sayang, hubungan erat adik-beradik  dan keprihatinan yang tinggi di antara mereka bertiga. Mungkin dari sudut itulah Allah SWT "memanggil" mereka bertiga bersama-sama.

Pengajaran untuk kita yang masih hidup. Jagalah hubungan adik-beradik sampai ke akhir hayat. Jika ada kesilapan dan rasa benci buanglah jauh-jauh. Bak kata pepatah: air yang dicincang tidak akan putus.

Kepada ibu dan ayah arwah bertiga, saya ucapkan takziah.Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Saya juga ingin mengucapkan tahniah  kerana telah berjaya mendidik anak-anak menjadi anak-anak yang solehah dan taat kepada orang tua hingga akhir hayat mereka.

Ambillah pengajaran daripada kisah ini. 


www.ustzhsalina.com

20 Disember 2022

Previous Post Next Post