BULAN REJAB: TANGGAPAN SALAH YANG PERLU DIPERBETULKAN.

 


        Alhamdulillah, bermula terbenam matahari pada 22 Januari 2023 maka 1 Rejab pun menjelma. Kedatangan yang sentiasa dinanti-nantikan setiap tahun.Kedatangan yang memberi maksud bahawa bulan Ramadan semakin hampir.

 

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun hijrah.Bulan Rejab juga merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan ini juga dipanggil bulan Mikraj kerana ada peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini iaitu perisiwa Israk dan Mikraj.

 

Umat Islam digalakkan mengisi hari-hari dalam bulan Rejab dengan melakukan amal ibadat sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab hanyalah bersandarkan  hadis yang tidak sahih.

 

Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani ada berkata: "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiamullail khusus Rejab.”

 

Berikut saya kongsikan kelebihan bulan Rejab berdasarkan hadis palsu dan hadis maudhuk.

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

 iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash.

 v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.

vii. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.

Oleh itu suka saya mengingatkan diri saya dan saudara-saudara Islam yang lain agar berhati-hati dengan dakwaan yang tidak benar ini. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat istiqamah dalam melakukan ibadat tanpa mengira bulan apapun yang datang.

 

Semoga kita semua dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT selalu.

 

 

 




1 Comments

  1. Semoga kita semua dalam pemeliharaan Allah SWT selalu.Amin

    ReplyDelete
Previous Post Next Post