NUSYUZ: Antara Penyebab Berlakunya Perceraian.

 


Gambar sekadar hiasan

PENGERTIAN NUSYUZ DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

Nusyuz dari sudut bahasa berasal dari perkataan nasyz (نشز) bermaksud tempat tinggi. Definisi nusyuz dari sudut istilah syarak, kebiasaannya disifatkan kepada isteri, yang mana dia telah berkelakuan meninggi diri kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan kepada suami yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Dari segi istilah, pelbagai definisi telah diberikan oleh para ulama. Definisi nusyuz menurut Imam Syirazi; isteri yang menderhakai, angkuh serta ingkar terhadap apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada mereka mengenai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap suami.

Secara mudahnya, boleh kita fahami bahawa nusyuz itu berlaku apabila isteri atau suami mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap satu sama lain dengan perbuatan-perbuatan tertentu.

Terdapat beberapa dalil di dalam al-Quran dan Sunah mengenai nusyuz. Antaranya, firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (Surah an-Nisa, 4: 34)

Hukum nusyuz adalah haram. Perbuatan ini merupakan salah satu daripada dosa besar.

Nusyuz terbahagi kepada tiga bahagian iaitu nusyuz isteri terhadap suaminya, nusyuz suami terhadap isterinya, atau kedua-dua suami dan isteri melakukan perkara tersebut.

NUSYUZ ISTERI

Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.

Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.

Ketiga : Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang menasabah.

Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.

Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

Ketujuh : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya. Isteri dianggap melakukan perkara ini sekiranya derhaka atau ingkar terhadap suaminya seperti keluar rumah tanpa izin suami, tidak mahu memenuhi hak suami terhadapnya, atau lain-lain perbuatan yang menjadi tanggungjawab si isteri.

Adapun sekiranya isteri melakukan perbuatan seperti membebel atau menghina suami dengan lisan, perbuatan tesebut tidaklah dianggap sebagai nusyuz, meskipun ianya berdosa.

NUSYUZ SUAMI

Nusyuz suami terjadi apabila dia mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya sebagai suami kepada isterinya. Terdapat ciri-ciri suami yang nusyuz. Antaranya ialah:

1. Tidak sediakan nafkah zahir dan batin

Suami dikira nusyuz apabila dia langsung tidak melakukan hubungan dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak dan tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya dari segi tempat tinggal, makan minum dan pakaian kepada isteri dan anak-anak.

2. Menyakiti isteri

Menyakiti isteri bermaksud suami bertindak kejam dan kasar terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, mendera dan lain-lain yang boleh mendatangkan kecederaan pada tubuh badan isteri.

3. Mengabaikan isteri

Nusyuz bagi seorang suami apabila dia tidak mempedulikan isterinya seperti kurang berkomunikasi atau kurang bermesra dengan isterinya disebabkan suami itu sudah jemu dengan isterinya atau ingin mencari yang lain.

4. Tidak menghormati isteri

Tidak memelihara kehormatan isteri juga dikira sebagai nusyuz apabila suami sering membuka aib isteri kepada orang lain lebih-lebih lagi hal di dalam rumahtangga.

5. Tidak adil terhadap isteri

Suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya dari segi nafkah, keperluan wajib dan waktu penggiliran bagi isteri-isterinya, suami itu dianggap telah nusyuz.

Semua perkara yang dinyatakan pada ciri-ciri suami yang nusyuz ini akan memberi kesan yang buruk kepada hubungan keluargaan seperti keretakan hubungan suami isteri atau terjadinya ketegangan antara mereka kerana isteri selalu merasa tertekan terhadap situasi suami yang telah mengabaikan tanggungjawabnya.

Gambar sekadar hiasan


NUSYUZ SUAMI DAN ISTERI:

Perbuatan nusyuz oleh kedua-dua suami dan isteri dalam masa yang sama juga boleh berlaku. Keadaan ini dinamakan juga sebagai syiqaq.

Situasi seperti ini boleh berlaku apabila kedua-dua suami dan isteri tidak mahu lagi bertolak ansur dan saling bertoleransi.

Sebaiknya masalah seperti ini diselesaikan dengan bantuan Jawatankuasa Pendamai ataupun campur tangan daripada Hakim yang dilantik oleh pihak mahkamah Syariah.

CARA MENEGUR ISTERI:

Suami perlu berjiwa besar dalam menangani isteri yang nusyuz kerana menjadi tanggungjawab si suami untuk mendidik isterinya dengan cara yang baik. Tidak perlu para suami menghebohkan perilaku isterinya kepada kenalan lain, apalagi menghebahkan di media sosial. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh suami untuk menangani masalah ini.

1. Nasihat dan bimbingan

Apabila tanda-tanda nusyuz mula kelihatan daripada seorang isteri, maka suami hendaklah memberi nasihat kepada isteri dengan lemah lembut dan berhikmah tentang tanggungjawabnya yang diwajibkan oleh Allah SWT dalam menjaga hubungan yang baik antara suami isteri serta mengiktiraf martabat suami. Di samping itu, mengingatkan isteri tentang kemurkaan Allah SWT dan akibat daripada perbuatan nusyuz yang dilakukan yang tidak diwajibkan ke atas suami untuk memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz. Semoga dengan nasihat dan peringatan tersebut, isteri dapat kembali melaksanakan kewajipannya terhadap suami.

2. Pemulauan tempat tidur

Sekiranya masih tidak berkesan, maka suami hendaklah memisahkan atau memulaukan isteri dari tempat tidur atau tidak menyetubuhi isterinya. Cara ini mungkin sedikit tegas, tetapi penting untuk memberitahu isteri bahawa perbuatan nusyuz itu salah. Meskipun begitu, diingatkan untuk si suami tidak memulaukan isterinya lebih daripada tiga hari.

 Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansori, Rasulullah  bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَال ٍ

Maksudnya: “Tidak harus bagi seorang muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga malam.”

Riwayat Muslim 

 

3. Pukul yang tidak mencederakan.

Jika isteri benar-benar tidak mentaati suaminya dan terus nusyuz, suami boleh memukulnya dengan pukulan yang tidak melukakan atau tidak membahayakan tubuh badan isteri.

Syarat pukulan dengan tujuan mendidik:

· Tidak memukul bahagian wajah dan kepala untuk menjaga kemuliaannya, serta kawasan yang lemah atau kawasan yang berkaitan dengan kecantikan seperti perut atau dada kerana dikhuatiri akan menyebabkan kecacatan atau kematian.

· Tidak memukul mengunakan alatan yang keras dan berbahaya seperti tongkat.

· Mengetahui bahawa pukulan itu akan menyedarkan isteri tentang kesalahannya. Sekiranya dengan pukulan menambahkan lagi kebencian isteri, maka suami tidak sepatutnya melakukannya. Maka, lebih baik suami memberi ugutan sahaja.

4. Bawa ke pihak mahkamah.

Sebagai langkah terakhir bagi situasi yang masih tidak menemui jalan penyelesaian, bolehlah dibawakan isu ini kepada pihak pendamai atau mahkamah Syariah itu sendiri.



                                                                Gambar sekadar hiasan


CARA MENEGUR SUAMI:

Dalam situasi suami yang melakukan perkara ini, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh isteri bagi mengatasi isu tersebut.

1. Sabar dan nasihat.

Hendaklah si isteri sentiasa bersabar dan menasihati suaminya dengan baik. Ingatkan si suami tentang tanggungjawabnya dan perintah agama.

2. Perdamaian

Sekiranya tidak berkesan, isteri digalakkan untuk membawa isu ini kepada orang tengah sebagai pengantara untuk mencari perdamaian. Libatkan ahli keluarga terdekat atau sahabat yang mampu membantu menyelesaikan masalah, bukan yang mengeruhkan lagi keadaan.

3. Membuat pengakuan kepada pihak mahkamah

Jika keadaan masih gagal mencapai penyelesaian, maka isteri boleh mengadu kepada hakim atas perbuatan suaminya yang nusyuz.

HAK ISTERI YANG HILANG APABILA NUSYUZ

Secara amnya, suami tidak wajib memberikan nafkah kepada isteri yang telah nusyuz. Misalnya apabila isteri ingkar arahan suami untuk tinggal di rumah dan tidak keluar tanpa keizinan suami, maka si isteri telah melakukan perkara ini dan gugur hak untuk diberikan nafkah oleh suami.

Sungguhpun begitu, seorang isteri yang telah bertaubat dan kembali taat pada suaminya tidak lagi dianggap melakukan nusyuz.

PENUTUP:

Dalam hal yang melibatkan hubungan rumah tangga seperti ini, kedua-dua pasangan hendaklah saling bertoleransi. Tiada pasangan yang sempurna. Suami dan isteri perlu berusaha untuk melaJusteru, suami dan isteri yang terlibat dalam apa sahaja konflik perkahwinan hendaklah berusaha mengenal pasti punca kepada masalah yang berlaku dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian agar perkahwinan dapat diselamatkan sebelum terlambat.

Kedua-dua pasangan sama ada isteri atau suami hendaklah saling bertoleransi. Tiada pasangan yang sempurna dalam perkahwinan.

Laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin, dalam masa yang sama bersedia menerima kekurangan pasangannya dan sentiasa berbincang dengan baik untuk memperbaiki satu sama lain.

Nasihat saya, sekiranya anda menghadapi situasi yang lebih melarat berkaitan dengan permasalahan ini, sila rujuk pada peguam syarie atau terus ke mahkamah Syariah berdekatan tempat tinggal anda untuk proses pengesahan tersebut.

 

Ustazah Salina Disember 20,2022 @12.40pm                                                              


Sumber :mstar  

              akumuslim.asia


Previous Post Next Post