CUTI BERSALIN 98 HARI MULAI 1 JANUARI 2023.


Foto hiasan

Apab
ila saya membaca kenyataan Menteri Sumber Manusia mengenai tempoh cuti bersalin yang ditambah daripada 60 hari kepada 98 hari, berkuatkuasa 1 Januari 2023, terdetik  di dalam hati saya alangkah beruntungnya kaum ibu dan bakal ibu pada hari ini. Mereka diberi peluang agak lama untuk berada bersama bayi yang baru lahir dan menguruskan bayi mereka.

 

Hal ini sangat berbeza pada  zaman saya dahulu. Pada masa itu, kami hanya diberi tempoh 42 hari sahaja. Bayangkan baru sebulan lebih bersalin, kami dah terpaksa panjat tangga di tempat kerja. Sudah perlu ke sana sini kerana tuntutan kerja. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Terpaksa meninggalkan bayi yang baharu sebulan lebih di rumah pengasuh dan dalam masa yang sama amat berhati-hati dalam pergerakan. Bimbang takut-takut terjatuh atau tergelincir di tempat kerja mahupun di rumah. Maklumlah situasi baru bersalin ini tidak boleh dipandang mudah.

 

Dengan terlaksananya nanti cuti 98 hari ini kepada wanita bersalin, bolehlah digunakan sepenuhnya untuk menyusu anak khususnya kepada ibu yang lebih suka memberikan susu badan di awal kelahiran ini. Sebenarnya banyak kelebihan menyusukan bayi dengan susu badan ini. Antara yang paling ketara ialah boleh membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat. Secara tidak langsung dapat juga membantu mengembalikan bentuk badan asal seseorang selepas bersalin. Kalau dari sudut kesihatannya pula antara kebaikan menyusukan bayi dengan susu badan ialah dapat mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.

 

Foto hiasan

Antara kebaikan susu badan kepada bayi  pula  ialah dapat membekalkan nutrien yang baik, mengandungi kolostrum yang boleh menguatkan sistem imunisasi bayi dan yang paling penting ia mudah untuk disediakan. Semakin lama bayi tersebut menyusu badan, bermakna semakin bertambah baik untuk bayi tersebut dari segi kesihatan. Lantaran kerana  itulah dalam Islam, amat digalakkan kaum ibu menyusu bayi sehingga berusia dua tahun.

 

Dalam surah Al-Baqarah ayat 233, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan".  

 

Penambahan tempoh cuti bersalin juga merupakan langkah bijak jika mengambilkira berkaitan kesihatan ibu selepas bersalin. Sebenarnya terdapat wanita yang berdepan dengan masalah kemurungan selepas bersalin. Kalau dalam masyarakat melayu ia dipanggil “sakit meroyan”. Antara tanda-tanda hal ini berlaku seperti susah tidur malam,menangis tanpa sebab dan lebih merbahaya sampai ke tahap cubaan mencederakan bayi atau diri sendiri.Walaubagaimanapun permasalahan ini mewakili peratus yang sedikit sesuai dengan peredaran masa dan keadaan sekarang.

 

Kesimpulannya dengan penambahan cuti bersalin sebanyak 98 hari ini benar-benar membantu kaum wanita dan pasangan masing-masing dalam mengurus keluarga mereka.Tempoh 42 hari pertama  selepas kelahiran bayi merupakan tempoh mencabar kepada ibu-ibu yang baharu bersalin.Dalam tempoh tersebut, ibu perlu menyesuaikan diri diri dan masa kerana sudah ada tanggungjawab yang baharu. Hal ini perlu dihadam elok-elok oleh para ibu tersebut khususnya bagi yang melalui pengalaman pertama dalam hidup mereka.

 

 

 

Catatan: Ustazah Salina Disember 29 2020 @11.30am

Previous Post Next Post