ELAK ISTIDRAJ MENGUASAI DIRI


Para pembaca yang dirahmati Allah ….

Pernahkah  anda mendengar perkataan istidraj? Saya rasa ada yang mungkin pernah mendengarnya dan ada yang baru pertama kali mendengarnya.Istidraj dari segi Bahasa diambil dari Bahasa Arab iaitu DARAJA yang bererti “naik dari satu tingkatan ke satu tingkatan selanjutnya .

Dari segi istilah Istidraj ialah kesenangan dan kenikmatan yang diberikan oleh Allah swt kepada orang-orang yang suka melakukan maksiat dan kepada golongan yang suka melanggar perintah Allah.

 Pelikkan? Mengapa Allah masih memberikan nikmat dan kesenangan kepada golongan seperti ini biarpun terang terangan mereka melanggar perintah Allah dan mengabaikan suruhanNya.Pasti ada hikmahnya yang kita sebagai makhlukNya tiada ketahui.

Mesti ada yang tertanya-tanya apa beza Istidraj dengan nikmat?

Dalam kehidupan Ada 2 macam pemberian Allah, yang diberikan kepada manusia.

- Yang pertama pemberian yang berupa NIKMAT yang membawa manusia kepada ketaatan kepada Allah SWT, membuatkan manusia semakin bersyukur serta semakin ingat  Allah SWT.

- Yang kedua adalah pemberian yang membawa manusia makin jauh dan lupa kepada nikmat Allah SWT. Dan nikmat yang menjauhkan kita dengan Allah SWT itu dinamakan ISTIDRAJ.

Pemberian Allah SWT yang diberikan kepada manusia yang tidak beriman, kafir, munafik, fasik, jahat, ahli maksiat, yang tidak disukai-Nya, dibenci, dilaknat & dimurkai-Nya.

 

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A'raaf, ayat 182:

ÙˆَالَّØ°ِينَ ÙƒَØ°َّبُوا بِآيَاتِÙ†َا سَÙ†َسْتَدْرِجُÙ‡ُÙ… Ù…ِّÙ†ْ Ø­َÙŠْØ«ُ Ù„َا ÙŠَعْÙ„َÙ…ُونَ

Ertinya:

"Dan orang-orang yang mendustakan peringatan Kami, nanti Kami akan biarkan mereka  beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui".(QS. Al-A’raaf : 182)

 

Sesungguhnya Allah membukakan untuk orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, pintu-pintu rezeki dan berbagai macam penghidupan di dunia sehingga mereka terpedaya dengan segala sesuatu yang ada pada mereka, dan mereka berkeyakinan bahwa sesungguhnya mereka berada pada suatu keberuntungan.

Tetapi, manusia yang derhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Mereka beranggapan Allah suka dan redha dengan apa yang telah mereka lakukan. Sebab itulah Allah berikan kesenangan. Pada hal dari satu sisi yang lain Allah sedang menunggu saat2 untuk membalas atas segala perbuatan mereka. Maha suci Allah , mana mungkin Dia terlupa atau terlalai sebagaimana makhluk. Tetapi kadang2 Allah panjangkan tempoh kepada mereka kerana Allah ingin memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat sebenarnya. Ia bertepatan dengan sifat ar Rahman dan ar Rahim Allah Taala.

 


 Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian....

 

Antara Tanda - tanda Istidraj adalah:

 

1. Kenikmatan duniawi yang melimpah ruah padahal jarang mendekatkan diri kepada Allah swt. 

Mereka diberikan harta kekayaan dan kesenangan oleh Allah swt dan mereka menjadi terlalu sibuk mengejar kemewahan duniawi menyebabkan mereka semakin lupa kepada Allah swt. Mereka menjadi semakin angkuh dan sombong dengan kelebihan mereka sedang mereka lupa semua itu hanya pinjaman dari Allah swt.

Tidak solat tapi berjaya, tak solat tapi kaya, tak solat tapi mewah, tak solat tapi gaji tinggi, tak solat tapi duit banyak…itu adalah antara tanda-tandanya.

 

Ingatlah sidang pembaca sekalian, apa yang kita miliki hari ini adalah hak milik kekal Allah, ia hanya dipinjam seketika kepada kita dan akan ditarik oleh Allah pada bila2 masa sahaja samada ia berbentuk wang ringgit harta kekayaan lain ataupun orang2 yang kita sayang. Sampai masa ia akan diambil kembali oleh tuan hak iaitu Allah swt.

 

2. Rezeki yang selalu bertambah pada hal ibadat selalu ditinggalkan.

 Terdapat yang meninggalkan solat dan puasa kerana terlalu leka dengan urusan dunia.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

 

3. Hidup aman dan selesa pada hal selalu melakukan maksiat dan dosa tanpa rasa bersalah kepada Allah.

Kita lihat kehidupan sesetengah artis dan selebriti tanah air sekarang ini. Ramai yang hidup mewah, diberi harta berjuta2..tetapi lupa kepada Allah. Apa yang lebih menyedihkan mereka menjadi idola,role model kepada anak-anak muda, anak-anak kita wahai pembaca yang budiman.

Rasa bangga bila buat dosa tetapi Allah tidak turunkan bala. Rasa bongkak bila engkar perintah Allah tetapi tidak diazab oleh Allah.Astagfirullah al azim…siapalah kita yang meminta-minta dan mengundang kemurkaan Allah. Hebat sangatkah kita sehingga langsung tidak ada perasaan gerun di hati di saat menuturkan kata2-kata seperti ini.

 

4.Jarang terkena musibah sakit.

Golongan yang diberikan istidraj jarang ditimpa sakit samada kepada dirinya atau ahli keluarganya.Berbeza dengan golongan yang beriman kepada Allah yang sentiasa diuji dengan pelbagai kesulitan dan kepayahan. Kadang-kadang kita ada terfikir megapa orang yang buat jahat, banyak buat maksiat kehidupan mereka selesa, tanpa ada sebarang masalah.

Bukankah ALLAH SWT ada berfirman, “Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH, ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.

Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun.

Adakah anda kenal kepada Qarun? Dia adalah seorang manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Perkara ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

 

 

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.

Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab, “Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri daripada orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya.

Malah, kisahnya telah diabadikan di dalam Al-Quran.

 

 Semakin bertambah Kekayaan & Kesenangan Duniawinya,  Semakin bertambah banyak Kemaksiatan & Kekafirannya.

Sering kita lihat orang-orang  yang memiliki kehidupan serba berkecukupan dan bahagia walaupun ia selalu lalai dalam kewajiban-kewajibannya yang memiliki kehidupan serba berkecukupan dan bahagia bahkan mungkin sering zalim terhadap manusia lain. Seakan kejahatan dan dosa yang ia lakukan semakin membuat harta dan kebahagiaannya bertambah. Contohnya seperti orang-orang yang makan rasuah, namun seumur hidupnya tidak pernah tertangkap malah  anak, cucu hingga keturunan selanjutnya mendapatkan warisan harta yang berlimpah dari hasil rasuah tersebut.

Namun ketahuilah bahawa hal tersebut merupakan istidraj yakni sebuah Ujian yang diberikan oleh Allah subhana hua ta’ala kepada makhluk-Nya yang melanggar perintah Allah berupa kelapangan rezeki dan kebahagiaan duniawi. Namun karena tertutup dengan keserakahan dan bisikan setan, seringnya kita tak menyedari bahawa harta dan kebahagiaan yang kita dapatkan merupakan ujian atau istidraj.

 

 

Allah sengaja memberikan segala nikmat kepada hamba nya yang selalu bermaksiat kepada nya. Ibarat laying-layang, semakin di hulur tali maka semakin jauh ia melayang. Megah berada di angkasa .Begitulah ketika Allah sedang menimpakan istidraj kepada hamba nya. tujuan pemberian nikmat itu bukanlah karena Allah sayang kepadanya, melainkan agar semakin jauh dari genggaman dan pandangan Allah swt.

 

Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang ingin saya kongsikan dengan penonton semua.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH.

Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah.

Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”

ALLAH menjawab, “Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti dalam NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak memberikannya ganjaran syurga, maka AKU mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”.

Wahai pembaca yang dirahmati Allah sekalian.

Lihatlah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah belajar siang malam? Gagal dalam perniagaan walaupun hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi.

Akhirnya, marilah kita sama-sama beringat dan berwaspada agar kita semua dijauhkan daripada setiap perkara yang tidak baik ini.

Mohon ribuan ampun dan maaf andai bicara saya menyakiti hati mana-mana pihak, sesungguhnya setiap kekurangan itu adalah kelemahan diri saya dan yang baik itu hanya datangnya dari Allah Yang Maha Kuasa.

Sekian…..

 

 

@Ustazah_Salina

12.12.2022

 

Sumberdalamiislam

                   popbela

Previous Post Next Post